Saturday, May 9, 2009

Harian Metro 10.05/2009 - Susulan Kes Meningitis Di Akademi JPJ Melaka

Photobucket

Pengarah Penguatkuasa JPJ Tuan Salim Parlan bersama Presiden KPPJSM Hamzah Masri serta Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Dato' Solah Mat Hassan melawat mangsa jangkitan meningitis di Hospital Melaka




MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil keputusan menangguhkan kursus serta latihan membabitkan kakitangan dan pegawainya berikutan 14 pelatih Akademi JPJ Tiang Dua, dekat sini, dimasukkan ke Hospital Melaka (HM) kerana disyaki dijangkiti meningitis.

Pada masa ini tiga pelatih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara 10 ditempatkan di wad isolasi HM, manakala seorang lagi menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) Pulau Pinang kerana mengalami gejala berkenaan ketika bercuti di kampungnya di utara.

Sementara itu, 85 daripada 418 pelatih dan kakitangan lain yang diperiksa kini dikuarantin di sebuah bilik khas di akademi terbabit dengan pemantauan dari semasa ke semasa oleh pegawai perubatan.

Sebelum ini, 354 pelatih terbabit mengikuti latihan lapangan yang dipecahkan mengikut kumpulan di tiga lokasi iaitu Pedas, Negeri Sembilan; Muar, Johor dan Bukit Katil, dekat sini, bermula 27 hingga 29 April lalu.





Bagaimanapun, pelatih, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kampung Beris Jambu, Panji, Kota Bahru, Kelantan disahkan meninggal dunia akibat jangkitan virus meningitis ketika dalam perjalanan menerima rawatan di HM pada 4 Mei lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata pelatih terbabit yang mendaftar diri pada 8 Mac lalu mengikuti latihan lapangan bagi pembantu penguat kuasa selama tiga bulan yang dijangka berakhir pada 1 Jun depan.

Menurutnya, berikutan kejadian berkenaan, pihaknya membuat keputusan serta-merta menghentikan sementara latihan dan kursus untuk kakitangan dan pegawai JPJ atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).

“Pada masa ini JPJ akan mengenal pasti sama ada kursus atau latihan berkenaan perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

“Kita juga menangguhkan kursus membabitkan 215 Penolong Pegawai Penguat Kuasa dari seluruh negara yang dijangka berlangsung pada 18 Mei depan hingga ke satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

“Keadaan itu perlu dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga dan ibu bapa mahupun keluarga dinasihatkan tidak mudah panik kerana keadaan kini sangat terkawal,” katanya pada sidang media di HM, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah JKNM, Dr Ghazali Othman; Pengarah Penguat Kuasa JPJ Putrajaya, Salim Parlan dan Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri.

Solah berkata, JPJ juga mewujudkan bilik gerakan mini di akademi berkenaan dengan diselia Pegawai Perhubungan bagi memudahkan ibu bapa atau keluarga memperoleh status terkini mengenai pelatih.

Katanya, mereka boleh menghubungi 06-2692666 bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pihaknya menghubungi keluarga semua pelatih terbabit bagi memaklumkan perkara itu.

“Ibu bapa mahupun keluarga dinasihatkan supaya tidak risau kerana situasi tidak membimbangkan, dan JPJ turut menyediakan sebuah tempat khas untuk keluarga terdekat bertemu dengan pelatih di luar akademi,” katanya.

Terdahulu, Dr Ghazali berkata, situasi terkawal berikutan tiga pelatih yang menerima rawatan di wad ICU kini dilaporkan dalam keadaan stabil kerana memberi tindak balas positif.

Katanya, pihaknya juga meminta bantuan Jabatan Kesihatan negeri berkaitan seperti Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor untuk membuat pemeriksaan ke atas keluarga pelatih.

Menurutnya, sampel darah, air kencing dan calitan tekak juga dihantar ke makmal HM dan Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur untuk siasatan.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, kita mengesyaki ada kemungkinan virus (meningitis) ini datang dari akademi, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar bagi mengelak ia menular kepada orang awam.

“Pada masa ini kita tidak membenarkan pelatih pulang ke rumah mahupun pelatih luar dibawa masuk bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.

No comments:

Post a Comment