Saturday, May 15, 2010

MOU JPJ / SPRM




MELAKA, 15 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalin persefahaman untuk membanters rasuah di kalangan petugas JPJ.
Memorandum persefahaman itu ditandatangani di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di Ayer Keroh oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull.
Solah memberitahu pemberita kemudiannya, kerjasama itu akan membolehkan pegawai penguatkuasa JPJ melaporkan kepada SPRM sekiranya terdapat pihak yang cuba memberi rasuah kepada mereka.
"Jika ada orang yang hendak memberi rasuah, anggota penguatkuasa JPJ wajib memberitahu kepada SPRM," katanya.
Solah berkata pihaknya turut meletak pelekat kenderaan pada semua kenderaan JPJ yang membawa slogan "Berkhidmat, Berintegriti" sebagai hebahan kepada orang ramai bahawa JPJ amat serius untuk meningkatkan integriti jabatan tersebut.
Beliau berkata seramai 10 pegawai JPJ turut dilantik sebagai Pegawai Integriti untuk menggiatkan aktiviti berteraskan integriti di kalangan petugas JPJ.
Sepanjang tahun lepas, hanya lima kes tangkapan oleh SPRM melibatkan petugas JPJ manakala bagi tempoh Januari hingga kini, terdapat dua kes yang sedang disiasat oleh suruhanjaya itu ke atas petugas JPJ, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment