Saturday, June 19, 2010

OPS PATUH



Ulat tiket serang JPJ
Oleh Muhammad Apendy Issahak

2010/06/19 KUALA LUMPUR: Lima pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan detik mencemaskan hampir 10 minit apabila dikepung lebih 100 samseng ulat tiket sejurus penjawat awam terbabit menahan seorang lelaki kerana menjual tiket secara haram di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil di sini, pagi semalam.
DISERANG...lima anggota JPJ terbabit menunjukkan laporan polis yang dibuat. sebelum - selepas
LEPAS...dengan bantuan rakannya (baju hitam) ulat tiket berjaya melarikan diri daripada ditahan.Kelima-lima pegawai terbabit turut diterajang dan dicekik selain dipaksa membebaskan lelaki yang ditahan itu jika tidak mahu dibelasah.
Sebelum itu, semua anggota penguat kuasa berkenaan menyamar penumpang bas ekspres bagi memerangkap ulat tiket yang dilaporkan berleluasa di terminal berkenaan.
Sebaik membeli tiket daripada seorang ulat, anggota terbabit terus menahan dan menggari lelaki terbabit yang juga warga Indonesia untuk siasatan lanjut.
Tindakan itu menyebabkan seorang lelaki dipercayai samseng ulat tiket muncul dan mengarahkan pegawai berkenaan membebaskan rakannya itu.
Menurut seorang daripada pegawai JPJ yang menjadi mangsa belasahan samseng terbabit, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika dia bersama empat rakan setugas menjalankan operasi penyamaran untuk menahan ulat tiket yang berleluasa di terminal berkenaan dan menahan seorang daripada mereka.
“Ketika proses menahan ulat tiket terbabit, dia cuba melarikan diri dan kami menahan serta menggarinya. Dia dibawa ke pondok JPJ yang terletak dalam kawasan terminal itu.
“Dalam perjalanan ke pondok itu, kami didatangi seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang terus mencekak kolar baju seorang anggota kami dan memaksa membebaskan ulat tiket yang ditahan itu,” katanya di sini, semalam.
Pegawai JPJ berkenaan menerangkan kepada lelaki terbabit suspek ditahan kerana menjual tiket bas ekspres secara haram, namun lelaki itu menyuruhnya membebaskan rakannya dan dia tidak peduli sama ada anggota terbabit anggota polis atau JPJ.
Katanya, lelaki terbabit turut berteriak dengan menyatakan pegawai berkenaan perlu melangkah mayatnya terlebih dulu sebelum menahan suspek.
“Kami berkeras tidak mahu membuka gari suspek sebelum dikerumuni lebih 100 ulat tiket dan dalam kekalutan itu, saya diterajang dari belakang.
“Kami semua ditolak dan dipukul dari belakang oleh kumpulan terbabit. Risaukan keselamatan diri dan pihak lain, kami terpaksa membuka gari suspek dan meminta suspek dan lelaki itu mengikut kami ke pondok JPJ.
“Di pondok JPJ, kumpulan ulat terbabit bertindak makin agresif dengan memaki hamun kami sambil menghentak meja serta menendang kerusi,” katanya.
Katanya, ulat tiket yang turut disertai beberapa pekerja kaunter tiket bas di situ menggugut akan mengadakan mogok jika JPJ menangkap ulat tiket di situ.
“Kami tak mampu lakukan apa-apa kerana mereka terlalu ramai dan terpaksa membebaskan ulat tiket yang ditahan itu,” katanya.
Kelima-lima anggota JPJ yang terbabit insiden berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi di sini, pada kira-kira jam 2 petang.
Susulan laporan itu, polis menahan 10 lelaki dipercayai ulat tiket di terminal sementara itu pada petang sama.
Ketika proses merekodkan butiran mereka dilakukan, tiba-tiba datang seorang lelaki mengarahkan anggota polis terbabit melepaskan semua ulat yang ditahan, namun tindakan itu dipersoalkan anggota berkenaan.
Lelaki terbabit yang berang menolak anggota polis yang menyoalnya itu menyebabkan anggota terbabit cuba menahannya sehingga berlaku pergelutan.
Beberapa anggota polis lain membantu menangkap lelaki itu, namun dia mula bertindak lebih ganas dengan membuka baju dan mencabar untuk bertumbuk dengan anggota polis berkenaan.
Ketika lelaki terbabit cuba menumbuk seorang anggota polis, dia disembur dengan pemedih mata dan akibatnya, dia melarikan diri ke kawasan kaunter tiket yang dipenuhi orang ramai sebelum menghilangkan diri menyebabkan dia gagal diberkas.
Sambungan dari muka 8 Harian Metro

KUALA LUMPUR: “Kami tidak akan berkompromi dengan samseng ulat tiket ini,” tegas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Mohd Nadzri Osman ketika diminta mengulas mengenai kejadian lima anggotanya dipukul ulat tiket di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil, pagi semalam.
Menurutnya, kumpulan ulat terbabit sudah melampau sehingga sanggup mencederakan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.
Katanya, kejadian itu tidak boleh dibiarkan begitu saja dan satu langkah segera perlu diambil bagi membendung perkara seperti itu daripada terus berlaku.
“Sudah beberapa kejadian berlaku di mana anggota kami dicederakan oleh ulat tiket yang cuba ditahan dalam operasi membanteras ulat tiket.
“Kami tidak akan kompromi dengan mereka dan akan terus membanteras aktiviti terbabit dengan menggiatkan lagi operasi serta menambah lebih ramai anggota,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, pihak pengusaha bas dan pekerja kaunter tiket yang bersekongkol dengan ulat tiket juga akan dikenakan tindakan.
“Perkara ini perlu ditangani bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah terutamanya kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatan bas,” katanya

2 comments:

  1. apa guna ada pistol, tak kan nak letak je kat pinggang tu..

    ReplyDelete
  2. siapa kata mereka ada pistol?

    ReplyDelete